Pages

Saturday, July 24, 2010

CINTA KARIPAP

Salam semua.....


Seri sudah lupa bila Seri mula suka akan karipap.
Mungkin juga Seri tidak pernah menyedari sejak bila Seri suka makan karipap. Tidak ramai yang tahu yang Seri suka benar dengan karipap sebab biasanya Seri dapat kawal diri dari keterujaan melihat dan menikmati karipap.

Seimbas mengenai karipap:

  • Terdapat dua jenis karipap yang dibezakan melalui kulitnya iaitu karipap yang biasa dan karipap pusing.
  • Terdapat pelbagai jenis inti karipap seperti inti kentang, keledek, sardin, ikan.
  • Boleh dinikmati semasa sarapan, minum petang, ketika mesyuarat atau majlis keraian.
  • Biasanya dihidangkan ketika panas dan dimakan bersama air kopi O atau teh O.


Seri merasakan yang Seri amat menggemari karipap apabila makan karipap lebih dari jumlah kuih-kuih yang lain. Sebagai contoh biasanya Seri makan 2 donut pada satu-satu masa tetapi kalau makan karipap Seri mesti ambil 4 biji. Alasan kedua, apabila nampak keledek di dapur Seri dah tak fikir lain selain dibuat inti karipap. Kuih cucur badak dan keria memang tak ada peluang nak tambat hati Seri. Alasan ketiga, Seri beria-ria nak belajar buat karipap. Kuih-kuih yang lain memang Seri kurang nak ambil tahu. Alasan keempat, kalau buat karipap memang tersenyum riang, sanggup bangun awal pagi semata-mata nak buat karipap.




Mari membuat karipap. Proses buat inti dan kulit dah diskip.



Leperkan kulit karipap



Masukkan inti



Kelim bahagian yang terbuka. Boleh juga menggunakan acuan.



Menanti untuk digoreng.



Karipap yang telah sedia untuk dinikmati.


Apa sahaja yang ada kaitan dengan karipap pasti menarik hati Seri. Contoh terdekat drama 'Minah karipap' lakonan Khairiah, Sharifah Shahora..... Sampai sekarang Seri masih ingit jalan ceritanya. Novel karipap-karipap cinta pun sama.


Karipap ni Nazri yang buat.

Friday, July 16, 2010

KAPAL TAK BOLEH SELAM

Salam semua.....


Anak panah- tempat melukis bendera


Minta dilukiskan Jalur Gemilang digantinya pula dengan bendera Negeri Sembilan atas alasan Jalur Gemilang susah untuk dilukis. Masih boleh diterima. Mujur tak lukis bendera lanun.



Jalur Gemilang



Bendera Negeri Sembilan


Tapi apa kejadahnya laut warna merah. Budak ni buta warna atau tak pernah lihat laut? Adakah selama ini dia lihat laut yang berwarna merah?


Ini kapal



Ini kapal selam


Manusia ada nama. Kapal pun ada nama. Ikut suka nak letak nama kapal apa. Tapi kapal mana boleh dinamakan dengan 'kapal selam'. Kapal ni tak boleh selam. Kalau tenggelam pun disebabkan karam. Bila diingatkan balik ada juga kapal selam yang tak boleh selam macam KD Tunku Abdul Rahman. (Semua kapal dalam armada TLDM membawa imbuhan awalan KD yang bermaksud Kapal Diraja ataupun KLD yang bermaksud Kapal Layar Diraja.)

Sunday, July 11, 2010

LUNYAI KATAK ITU

Salam semua.....


sekadar gambar hiasan


Dulu Seri ingatkan senang nak jaga budak-budak ni.

Dah kena. Ambik kau. Padan muko den.


Gelagat murid-murid sekolah rendah:


Bila Seri nasihatkan dia bila meniru semasa peperiksaan masamnya muka. Bila keputusan dah keluar katanya pula ‘kenapa cikgu tak bagi saya tiru. Ayah saya marah sains saya dapat C.’


Bila dia dapat B dalam subjek ditukarnya kertas peperiksaan dengan orang lain yang dapat A. Padam nama kawannya tu tulis nama dia. Bawa balik nak tunjuk dengan ayah BI dapat A.


Masa buat latihan dalam kelas dia boleh buat. Tapi bila peperiksaan kertas soalan kosong tanpa jawapan yang dihantar. Bukan tak boleh buat tapi malas. Dia nak cikgu yang mengajar ada depan matanya masa jawab peperiksaan baru dia boleh buat.


Seri ajar ‘understanding multiplication as addition’. Dia boleh kira guna jari tapi tetap nak tengok sifir. Seri siap cakap lagi ‘kalau siapa-siapa tengok sifir dia rasa dirinya tak pandai’. Tapi tak diendahkan.


Melihat seekor katak yang melompat-lompat pastinya menarik perhatian kanak-kanak. Dikatanya ‘air kencing katak kalau kena mata boleh buta’. Sebelum katak sempat kencing dia dulu dengan rasa tak malu londehkan seluar kencing kat katak.


Setiap kali sebelum kelas berakhir Seri akan ingatkan supaya jangan lupa bawa buku keesokkan harinya. Tapi ada juga yang tak bawa. Nampak saja muka Seri depan pintu terus cakap ‘cikgu saya tak bawa buku’. Padahal P&P (kelas) belum mula lagi. Jujurnya budak-budak ni.


Kanak-kanak yang sihat adalah kanak-kanak yang aktif. Oleh itu, jika ada murid yang mengguling dalam kelas, berlari-lari adalah perkara biasa bila tiada guru/ pengawas yang mengawalnya. Jika diperhatikan macam anak ayam kehilangan ibunya. Keadaan ini amat bahaya jika ada pelawat luar datang.


Adik Seri dah ada blog sendiri. Url blognya www.mystorysofiya.blogspot.com sudi-sudilah melawat blog adik Seri, Sofiya.



p/s: Mungkin ini peluang terakhir Seri merasa mengajar di sekolah rendah.

Saturday, July 10, 2010

MASIH BELUM REDA

Salam semua.....


Musim piala dunia ramai yang tidur lambat. Kedai makan dan restoran mamak makin meriah. Pak cik yang selalu melepak kat kedai kopi pun rasanya asyik bercerita mengenai world cup sambil main dam. Mak Seri pun selalu bawa balik cerita fasal bola selain mee goreng free yang tak habis kat kedai makan tadi. Politik dapur pun dah makin kurang nampaknya. Perbualan di bilik guru pun makin rancak dengan adanya worldcup. Selamanya asyik isu pendidikan menjadi bualan.


Bukan Seri tak nak bercerita soal kemenangan, kekalahan, ramalan pertandingan macam Paul si sotong kurita atau burung nuri di Singapura, pasukan mana yang jadi pilihan murid-murid kat kelas. Nak jadi set induksi pun macam tak kena. Takut meleret-leret ceritanya sedangkan silibus banyak yang belum disentuh.


Rasanya kalau Seri tak tanya pasukan mana pilihan mereka pun Seri dah tahu jawapannya.

Tadaaaa....


Seri dapat sekali dua pemadam pada hari terakhir mengajar di sekolah mereka. Dalam entry terdahulu Seri ada memberitahu tentang pemergian guru yang Seri gantikan. Seri tak dapat terus berkhidmat di situ lagi. Kekosongan guru yang telah meninggal dunia tidak boleh diambil alih oleh guru sementara/ ganti. Isnin ni Seri mula mengajar di sekolah yang lain. Kali ini sekolah menengah, subjek sejarah dan PJK. Mungkin Seri boleh selitkan cerita worldcup semasa mengajar. Bukankah Belanda dulu pernah menjajah Melaka?


Bosan belajar sejarah? George Santayana pernah berkata ‘Those who cannot remember the past are condemned to repeat it’. Macam mana agaknya nak jadikan subjek sejarah menarik dan tidak membosankan.


p/s: 19 Julai keluar nama untuk interview guru sandaran terlatih.

Monday, July 05, 2010

KAU PERGI DULU

Salam semua.....



Arwah sakit dah lama. Tapi bagi Seri semua ini berlaku dengan begitu pantas. Rasanya baru semalam Seri menjejakkan kaki ke sekolah ini untuk ganti tempatnya buat seketika. Alih-alih malam tadi arwah telah pergi buat selamnya. Apabila meninggalnya anak adam makan terputuslah segala amalnya kecuali 3 perkara; sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak soleh yang mendoakannya. H.R. Muslim.


7 tahun lalu anak arwah menjalani pembedahan akibat penyakit jantung berlubang. Pada masa itulah arwah dapat tahu yang dia menghidap leukemia. Pemindahan sum-sum tulang telah dilakukan sebagai langkah mengubati penyakit. Tapi ternyata kanser telah menular kembali. Pada hujung bulan Mac arwah telah mengambil cuti sakit selama 6 bulan. Kekosongan tempat arwah membolehkan Seri jadi ‘guru ganti’.


Hari ini ramai guru ‘bertemu’dengan arwah buat kali terakhir. Olah itu P&P tidak dapat dijalankan. Seri ingin sangat melawat arwah hasrat itu terpaksa dilupakan. Mungkin ada betulnya yang Seri lebih diperlukan di sekolah. Biarlah guru-guru yang lebih mengenali arwah pergi menziarahi. Perhimpunan pagi ditukar kepada bacaan Yasin, tahlil dan bacaan Al-Quran. Cikgu nak mengajar pun tak ada mood. Kami semua merasa kehilangnya walaupun Seri tak pernah bertemu dengan arwah. Berat mata memandang berat lagi bahu yang memikul. Anak sulung arwah akan menduduki UPSR tak sampai 100 hari lagi.


Besarnya pengorbanan isteri arwah. Dulu anaknya, suaminya sakit. Kini suaminya telah tiada. Mujur juga isterinya ada kerjaya, sama-sama mengajar di sekolah yang sama. Masa arwah sakit isterinya belajar memandu. Dari zero hingga boleh memandu sendiri hantar arwah ke Hospital Ampang. Arwah juga sempat beli rumah, kereta masa dia sakit. Sekurang-kurangnya terbela juga nasib anak-anaknya. Rasulullah pernah bersabda, Sesungguhnya jika engkau tinggalkan ahli warismu dalam keadaan kaya raya adalah lebih baik daripada engkau tinggalkan mereka dalam keadaan kekurangan meminta-minta kepada manusia. Dari Sa'ad bin Abi Waqqash r.a.



p/s: Al-Fatihah....... Semoga roh arwah dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman.

Sunday, July 04, 2010

RAJA BUAH (entri bergambar)

Salam semua.....


Saya suka makan durian,


Durian


Bubur kacang


Tempoyak


Pulut durian


Dodol


Wajik


Sambal tempoyak


Gulai tempoyak


Lempok


Keropok


Aiskrim durian


begitu sahaja.


Semua gambar dicilok dari google

BOLEH PUN

Salam semua.....



Pagi yang indah. Menghirup udara pagi memang mendamaikan walaupun hanya berada di dalam rumah. Mungkin sebab itu Seri lebih suka bangun pada awal pagi dari berjaga hingga lewat malam.


Awal pagi adik Seri sudah terpacak di depan tv. Pencapaian yang cukup membanggakan. Boleh pun bangun pagi sendiri. Malahan lebih awal jam loceng yang disetkan malam tadi. Alangkah bagusnya jika perlawanan bola sepak setiap hari macam ni. Sekali-sekala menyaksikan perlawanan bola sepak seronok juga. Lagi pula peluang sebegini bukan datang selalu. FIFA world cup hanya dapat disaksikan 4 tahun sekali. Bahang kehangatan sudah sampai ke penghujung tapi Seri baru dapat tengok dalam perlawanan suku akhir.


Sekarang ini menyaksikan siaran tertunda perlawanan Paraguay menentang Spanyol di siaran berbayar. Belum ada jaringan gol tetapi Seri sudah sedia maklum yang Spanyol telah mengalahkan Paraguay 1-0 awal pagi tadi waktu Malaysia.


Malam tadi memperlihatkan perlawanan Argentina menentang Jerman. Maradona terpaksa menelan kata-kata apabila Argentina kalah teruk pada peringkat suku akhir dengan perbezaan 4 gol. Menurut lipitan tv Argentina mendomonasi penguasaan bola dan percubaan jaringan yang lebih banyak berbanding Jerman. Tetapi penentu menang atau kalah satu-satu pasukan itu melalui kiraan gol. Ramai yang berkata bola itu bulat, sebarang kebarangkalian boleh berlaku. Tetapi Seri lebih tertarik dengan peribahasa 'yang bulat tidak datang bergolek, yang pipih tidak datang melayang'.



p/s: Masa world cup di Korea Selatan dan Jepun bukan main seronok lagi Seri tengok. Siap melompat atas kusyen sampai patah palang kat tempat duduk. Berpeluh juga nak menjawab dengan mak.

Saturday, July 03, 2010

MENGENALIMU

Salam semua.....



Seri merasakan yang Seri cukup kenal seseorang bila dapat menjangkakan reaksi orang tersebut terhadap sesuatu perkara. Contohnya, apabila kita memberikannya sesuatu kepada dia. Apa reaksinya? Gembirakah dia? Sukakah dia? Memang tidak dapat disangkal siapa yang tidak suka apabila menerima sesuatu. Tapi bagaimana cara penerimaan mereka itu? Mimik muka, percakapan, gerak badan. Kita tidak dapat membaca fikiran orang lain tetapi dapat diketahui melalui apa yang terzahir.


Mungkin mudah memahami orang yang dekat dengan kita seperti ahli keluarga, rakan-rakan, jiran dan saudara-mara. Tapi bagaimana pula dengan orang disekeliling kita yang baru dikenali? (Individu akan melihat persekitaran mengikut pandangannya dan bukan dari sudut pandangan orang lain, Carl Rogers)

Kita dapat mengenali seseorang itu dengan bertanya secara langsung, bertanya dengan orang yang rapat dengan individu terbabit, melihat tingkah laku dan menguji mereka. Masa yang singkat mendesak Seri untuk mengenali murid-murid Seri. Seri ingin memahami apa yang mereka fikirkan. Reaksi mereka.


Caranya dengan menguji mereka:

Pertontonkan mereka kartun animasi.

Membuat aktiviti berkumpulan.

Menjalankan P & P di kelas dan bilik matematik.

Latihan dalam buku tulis, kertas dan buku aktiviti.

dll

Lakukan aktiviti, membuat andaian dan test.


Seri suka memerhati tingkah laku orang disekeliling. Contohnya jalan-jalan ke kompleks membeli-belah, perpustakaan, kedai makan, pasar malam. Di sekolah Seri dapat melihat tingkah laku kanak-kanak. Bagi Seri itu sesuatu yang menarik. Kalau dulu bila ada murid menangis Seri dah cuak.



p/s: Budak-budak hari ni nangis esok ceria balik.

BANGAU OH BANGAU

Salam semua.....



Bangau oh Bangau

Kenapa engkau kurus

Macam mana aku tak kurus

Ikan tidak timbul


Ikan oh ikan

Kenapa tak mahu timbul

Macam mana aku nak timbul

Rumput panjang sangat 2x


Rumput oh rumput

Kenapa panjang sangat

Macam mana aku tak panjang

Kerbau tak makan aku2x


Kerbau oh kerbau

Kenapa engkau tak makan rumput

Macam mana aku nak makan

Perut aku sakit2x


Perut oh perut

Kenapa engkau sakit

Macam mana aku tak sakit

Makan nasi mentah2x


Nasi oh nasi

Kenapa engkau mentah

Macam mana aku tak mentah

Kayu api basah2x

Kayu oh kayu

Kenapa engkau basah

Macam mana aku tak basah

Hujan timpa aku2x


Hujan oh hujan

Kenapa engkau timpa kayu

Macam mana aku tak timpa kayu

Katak panggil aku2x


Katak oh katak

Kenapa engkau panggil hujan

Macam mana aku tak panggil

Ular nak makan aku2x


Ular oh ular

Kenapa engkau kau nak makan katak

Macam mana aku tak makan katak

Memang makanan aku2x


Pengajaran dalam lagu tersebut tidak lebih daripada simbolik kepada manusia yang suka menyalahi orang lain. Manusia sanggup menyalahkan orang lain demi menutup kelemahan masing-masing. Bersikap lepas tangan.


Tidak ada manusia yang sempuna. Apa salahnya jika mengaku kesilapan. Sedar akan kelemahan kerana dari situ bermula proses memperbaiki diri. Ular menyusur akar tak akan hilang bisanya.


Seri tertarik dengan kenyataan seorang penjaga yang mengakui faktor penceraian mungkin membuatkan potensi anaknya terjejas. Dilihat dari caranya nampak seperti orang yang terpelajar. Mengenepikan ego. Tidak salahkan anak atau guru-guru. Seri memang kagum. Kalaulah, ...

 
Copyright 2011 Catatan Seri. Powered by Blogger
Blogger by Blogger Templates WP by Wpthemescreator